Jumaat, 21 Ogos 2009

BERLIN - Pelari sensasi Jamaica, Usain Bolt (gambar) terus menggegarkan kota Berlin.

Kelmarin, Bolt muncul atlet pertama mencatat dua rekod dunia dalam acara pecut pada Kejohanan Olahraga Dunia 2009.

Selepas memecahkan rekod dunia acara 100 meter Isnin lalu, Bolt sekali lagi mencuri tumpuan apabila meraih emas dengan memecahkan rekod dunia dalam acara 200m.

Bolt yang juga pemegang rekod dunia baru acara 100m dengan catatan 9.58 saat, meraih emas acara 200m dengan catatan masa 19.19s.

Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir hanya sehari sebelum Bolt menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23 semalam.

Secara kebetulan juga, Bolt mencatat kedua-dua rekod dunia dengan memperbaharui 0.11 saat berbanding catatan lama yang dilakukannya pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

"Saya selalu memberitahu semua pihak bahawa sasaran saya ialah untuk menjadi juara dunia," kata Bolt.

"Saya tidak pernah memikirkan mengenai rekod. Saya tidak ingin memberikan tekanan terhadap diri sendiri.

"Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya benar-benar fokus ketika berlumba.

"Saya tahu tiada apa yang mustahil. Apa yang penting, kita perlu berusaha dan menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh."

Dalam pada itu, Bolt menegaskan, dia tidak berminat untuk meyakinkan orang ramai yang meragui rekod dunia yang dilakukannya tetapi akan bekerjasama jika perlu menjalani ujian dadah.

"Saya tidak bimbang dan saya sama sekali tidak berkecil hati. Saya tahu, perkara seperti ini memang biasa dalam mana-mana jenis sukan." - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan